Yusoff Rawther fail saman serangan seksual terhadap Anwar

130

15 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berdepan saman kerana melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, pada 2018.

Muhammed Yusoff memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Abd Halim Ushah & Associates dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Peguam Mahajoth Singh yang mewakili Muhammed Yusoff ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya sudah menfailkan saman berkenaan, namun belum menyerahkan salinan notis tuntutan saman kepada Presiden PKR terbabit.

Menurut pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran kedutaan India kepada defendan.

Plaintif mendakwa, sebaik tiba di kediaman itu, defendan mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah untuk berbincang secara lanjut mengenai teks ucapan berkenaan.

“Ketika berada di dalam bilik perpustakaan, Muhammed Yusoff cuba menyerahkan teks ucapan namun beliau tidak mengambilnya, sebaliknya, defendan menghampiri plaintif dan melakukan tindakan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya.

“Plaintif kemudian menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.

Muhammed Yusoff juga mendakwa tiada sebarang komunikasi antara dirinya dan defendan serta masih bekerja dengan Anwar sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman, selepas serangan seksual itu.

Plantif juga mendakwa diserang oleh Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada 16 Mei 2019, jam 10 pagi dan mengalami serius dan terpaksa menerima rawatan perubatan.

“Selepas kejadian itu, plaintif meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun 2019. Plaintif kemudian membuat satu laporan polis terhadap defendan pada 7 Disember 2019,” katanya.

Berikutan itu, plaintif mendakwa beliau mengalami penderitaan antaranya gangguan fizikal, trauma serius, pencabulan kehormatan dan kehilangan reputasi.

Justeru, Muhammed Yusoff menuntut deklarasi bahawa defendan melakukan perlakuan serangan seksual dan plaintif berhak mendatangkan perlindungan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi khas RM180 bagi setiap sesi terapi, teladan dan teruk serta sebarang relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.