TH Sambut Baik Penubuhan RCI

35

14 JULAI: Lembaga Tabung Haji menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian didakwa dialami oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) dari tahun 2014 hingga 2020. 

Justeru, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI berhubung isu tersebut. 

Menurut beliau, pihaknya berpendapat hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus. 

“Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin, khususnya dalam kalangan pendeposit.

“TH sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya, demi kepentingan pendeposit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Beliau berkata, keputusan penubuhan RCI berkenaan dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Ismail Sabri berkata, tujuan utama penubuhan RCI berkenaan bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH  hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.