SUA MCA perlu mohon sendiri kebenaran masuk HSK Batu Talam

15

14 JULAI: Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, menggesa Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon memohon sendiri kebenaran jika pekebun haram Musang King di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang, mahu memasuki kawasan operasi penguatkuasaan.

Wan Rosdy berkata, Chong perlu mendapatkan sendiri kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) jika pekebun haram itu mahu memasuki kawasan operasi bagi mendapatkan semula barangan milik mereka di dalamnya.

“Dalam pada itu pun, saya menerima permintaan daripada Datuk Chong (Sin Woon) agar pekebun-pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal di dalamnya.

“Kepada permintaan ini, saya telah meminta Datuk Chong mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rosdy berkata beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Ahmad Masrizal Muhamad di Wisma Sri Pahang, Kuantan, petang semalam yang turut disertai Chong.

Katanya, dalam kunjungan hormat itu, perkara tentang kerja-kerja penguatkuasaan dalam HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar meliputi kebun haram durian musang king, telah dibangkitkan.

Susulan itu, beliau menyatakan ketegasan secara konsisten oleh kerajaan Pahang dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui mengesah lapan pekebun Musang King di Raub sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung isu penanaman durian di HSK Batu Talam, Raub.

Yu Hui berkata, semua pekebun terbabit hadir ke pejabat SPRM Raub bermula 10 pagi hingga 4 petang kelmarin bagi memberikan keterangan.

“Semua pekebun terbabit memberikan keterangan dan bekerjasama penuh dalam suasana yang baik. Tiada pekebun yang ditahan pihak SPRM setakat ini dan semua berjalan dengan baik serta lancar,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, semua pekebun terbabit turut diwakili peguam yang dilantik dalam kes ini bagi berhadapan dengan isu berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah yang bermula sejak 3 Julai lalu membabitkan luas keseluruhan lebih 101 hektar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.