Padang solar terapung Singapura terbesar di dunia

26

14 JULAI: Singapura hari ini melancarkan ladang solar terapung terbesar di dunia yang mampu menghasilkan tenaga elektrik mencukupi untuk menggerakkan lima loji rawatan airnya.

Ladang solar seluas 45 padang bola sepak itu terdiri daripada 122,000 panel solar dan ia sebahagian usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Singapura adalah antara pemancar karbon dioksida per kapita terbesar di Asia dan kekurangan tanahnya menjadikan usaha untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui satu cabaran buat negara itu.

Panel solar itu akan dipasang di pinggir pantai dan kawasan takungan bertujuan menggandakan pengeluaran tenaga solar pada 2025.

Ladang baharu ini dapat menghasilkan tenaga elektrik hingga 60 megawatt, berupaya mengurangkan pelepasan karbon yang setara dengan pelepasan gas dari 7,000 kereta di jalan raya, menurut Sembcorp Industries dan agensi air nasional, PUB.

Sembcorp membina projek seluas kira-kira 45 hektar itu dengan sokongan daripada agensi berkenaan.

“Tenaga solar banyak, bersih dan hijau, ia kunci mengurangkan pelepasan karbon di Singapura,” kata Ketua Eksekutif PUB, Ng Joo Hee.

Singapura juga sudah membangunkan sebuah ladang solar di Selat Johor, yang memisahkan negeri pulau itu dari Malaysia.

Kerajaannya pada Februari melancarkan ‘pelan hijau’ yang merangkumi langkah-langkah seperti menanam pokok, mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan dan membina lebih banyak stesen pengisian untuk mendorong penggunaan kereta elektrik.

Singapura berjanji mencapai sifar pelepasan karbon sepenuhnya secepat mungkin pada separuh kedua abad ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.