Nak masuk Kelantan kena buat ujian saringan COVID-19

99

14 JULAI: Individu luar yang ingin memasuki Kelantan perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 bagi membendung penularan wabak itu.

Ini berikutan tindakan kerajaan negeri mengemukakan cadangan drastik untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan penularan varian virus COVID-19 yang lebih ganas dan cepat merebak di seluruh negara sekarang.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata tindakan drastik berkenaan sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 di Kelantan.

Dr Izani berkata, keputusan ujian saringan COVID-19 berkenaan perlu dilampirkan bersama surat permohonan rentas negeri yang diluluskan oleh polis.

DR IZANI

“Kelantan kini merekodkan tiga kluster baharu yang dicetuskan oleh aktiviti rentas negeri bagi tujuan kecemasan membabitkan masing-masing dua dari Kuala Lumpur dan Selangor manakala satu dari Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata kebanyakan individu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai risiko tinggi terkena jangkitan berdasarkan situasi ketika ini kerana kebanyakan mereka yang positif tidak mempunyai simptom.

Dr Izani berkata, individu yang mendapat kebenaran merentas negeri juga diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Kerajaan negeri bimbang jika langkah awal tidak diambil penularan COVID-19 yang telah reda ketika ini akan kembali parah sebagaimana sebelumnya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mahu bertemu keluarga perlu memastikan kebersihan diri dan sentiasa memakai pelitup muka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.