Kilang, tapak pembinaan terus jadi lubuk penularan COVID-19

15

14 JULAI: Kilang dan tapak pembinaan di seluruh negara terus menjadi lubuk penularan wabak COVID-19 dengan data Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menunjukkan 15 daripada 26 kluster dikesan membabitkan premis berkenaan.

Tujuh lagi kluster adalah membabitkan komuniti dan empat berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kluster COVID-19 dikesan di seluruh negara sekarang ialah 3,142 kluster termasuk 2,266 kluster sudah tamat dan 876 kluster masih aktif.

Beliau berkata dengan pertambahan 11,618 kes baharu hari ini jumlah kes positif COVID-19 dikesan di Malaysia sekarang ialah 867,567 kes termasuk 759,705 kes atau 87.6 peratus sudah sembuh dan 101,359 kes masih aktif.

NOOR HISHAM

Katanya, seramai 878 pesakit COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 432 memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 118 kes kematian direkodkan pada hari ini yang melibatkan 46 kes di Selangor, 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 16 kes di Negeri Sembilan, 13 kes di Johor, lima (5) kes di Kedah.

“Sabah dan Sarawak pula masing-masing mencatatkan empat kes kematian; Labuan, Kelantan, Perak, Pahang, dan Melaka masing-masing dua kes, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga menegaskan peningkatan kes harian adalah sejajar dengan jumlah kenaikan saringan COVID-19 iaitu hasil saringan bertumpu yang sedang giat dijalankan di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.

Beliau berkata jumlah ujian harian tertinggi bagi tempoh dua minggu telah direkodkan pada 13 Julai 2021 iaitu sebanyak 131,706 ujian (RT-PCR dan RTK-Ag).

“Namun begitu, masih terdapat kapasiti untuk menjalankan lebih banyak ujian terutamanya di makmal-makmal swasta. Kapasiti ini akan diguna pakai sebaik-baiknya bagi menjalankan lebih banyak ujian COVID-19 secara strategik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.