97 kes salah laku, rasuah di IPTA disiasat – SPRM

51

14 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 97 kertas siasatan membabitkan kesalahan urus tadbir dan salah laku rasuah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sejak tahun 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata SPRM juga menerima banyak laporan membabitkan pelbagai kesalahan yang dilakukan pegawai pelbagai jawatan dan peringkat di IPTA.

“Sejak 2016 hingga 2021 kita menerima banyak isu kesalahan membabitkan IPTA dan sebanyak 97 kes siasatan juga dibuka sejak itu.

“Seramai 70 kakitangan IPTA ditahan dengan 43 daripadanya sudah dituduh di mahkamah,” katanya dalam ucapan selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Integriti UKM 2021-2025 yang diadakan secara maya, hari ini.

AZAM

Yang turut menyaksikan acara itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Dalam pada itu, Azam berkata, setiap IPTA perlu mengenal pasti risiko berlakunya aktiviti salah laku rasuah mahupun kesalahan urus tadbir untuk mengelakkan jenayah itu berlaku dengan lebih serius.

Biarpun salah laku rasuah berkenaan belum mencapai tahap membimbangkan, namun Azam berkata adalah lebih baik perbuatan tidak bermoral berkenaan dicergah lebih awal.  

Azam berkata, walaupun kempen mengamalkan budaya kerja yang baik dan berintegriti adalah bagus, tindakan yang lebih berkesan dan berstrategi perlu dilakukan di setiap IPTA seluruh negara.

“Ketika kita cuba mempopular budaya yang baik, kita juga perlu ada strategi yang berkesan untuk mengawal manusia-manusia yang berkaitan. Tidak sekadar mempromosi ‘good culture’ sahaja.

“Disebabkan itu lah kita perlu mempunyai undang-undang untuk mengawal perkara ini seperti yang diwujudkan oleh UKM,” katanya

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh UKM perlu menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain kerana ia membantu memperkukuhkan dasar sedia ada selain memberikan imej yang bersih kepada institusi.

Sementara itu Abdul Wahid pula berkata, antara objektif pembangunan pelan itu adalah untuk menyediakan hala tuju dan kerangka tindakan pencegahan rasuah yang berstruktur dan jelas, menangani permasalahan dan kelemahan tatakelola integriti dan rasuah, mempamerkan komitmen pengurusan yang tinggi dalam usaha pencegahan rasuah.

“Pelan ini juga menyediakan satu platform yang sistematik dalam menangani isu rasuah dengan mekanisma pemantauan dan pelaporan yang boleh dibuat kepada pengurusan tertinggi UKM secara berkala,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.