Saksi dedah Guan Eng kunjungi rumah ahli perniagaan

19

13 JULAI: Seorang saksi hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengunjungi rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya, pada sekitar pukul 2 pagi.

Saksi pertama pendakwaan, Geethanjali Gausillia Kathirvalu, memberitahu perkara itu pada hari pertama perbicaraan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang yang dihadapi

Geethanjali, 35, yang juga ahli perniagaan berkata dia dimaklumkan mengenai kehadiran beks Menteri Kewangan itu ke rumahnya oleh suaminya, Datuk Seri Gnanaraja M. Gnanasundram ketika sedang tidur.

Berikutan itu, Geethanjali berkata suaminya memintanya bersiap sebelum dia mengejutkan ibunya.

“Saya kemudian dikenalkan kepada Guan Eng oleh suami saya beserta dengan seorang lagi individu iaitu Datuk Zarul (Ahmad Mohd. Zulkifli).

“Saya sahkan saya mengenali Zarul sebelum ini lagi kerana beliau pernah datang ke rumah untuk berurusan dengan suami saya.

“Guan Eng ada bertanyakan mengenai khabar saya dan ibu serta perkembangan semasa saya pada ketika itu. Saya menjawab segala soalan daripada Guan Eng dan hanya berbual-bual kosong,” katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Geethanjali, kemudian memberitahu mahkamah bahawa seingatnya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Pulau Pinang pernah hadir sekali sahaja ke rumahnya, sementara Zarul hadir beberapa kali ke rumahnya atas urusan perniagaan dengan suaminya.

Tambah saksi pertama itu, beliau tidak tahu apa urusan mereka bersama suaminya, selain tidak pernah menjemput Guan Eng ke rumahnya.

“Saya bukanlah peminat atau penyokong Guan Eng,” katanya yang turut mengesahkan bahawa beberapa keping gambar kenangan bersama Guan Eng telah diambil di rumahnya.

Geethanjali berkata gambar berkenaan, telah dirakam oleh Zarul menggunakan telefon bimbitnya.

Kata saksi itu lagi, lebih kurang 30 minit selepas gambar diambil, suaminya meminta dia dan ibunya untuk beredar kerana suaminya perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng.

Sementara itu, Geethanjali ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng mengakui bahawa pernah berjumpa dengan ahli politik lain sebelum ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.