Kerajaan sedia tambah RM1.1 bilion tangani COVID-19 di Lembah Klang

41

13 JULAI: Kerajaan sedia menambah peruntukan berjumlah RM1.1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani wabak COVID-19 di Lembah Klang.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan berkenaan adalah seperti dipohon oleh Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley di bawah KKM, dan Kementerian Kewangan telah diminta untuk mempercepatkan kelulusan terbabit.

Berikutan itu Muhyiddin berkata, beliau secara dasarnya bersetuju dengan permintaan Pasukan terbabit, yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong.

“Secara dasarnya saya bersetuju dengan permohonan dana yang dikemukakan KSU KKM, dan mengarahkan ia dibincangkan dengan Perbendaharaan agar perolehan berperingkat dapat dilakukan segera,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada media selepas selesai membuat lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) , Klang, Selangor hari ini.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri diberikan penerangan oleh Pakar Forensik HTAR, Dr Nur Ayutimasery Abdullah.

Semalam, wad COVID-19 di HTAR menerima tambahan 151 katil daripada Kementerian Kesihatan (KKM), menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 606 unit.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, dilaporkan berkata bagi wad COVID-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, kapasiti katil rawatan sedia ada di HTAR ditingkatkan dari 51 kepada 72 katil dalam masa terdekat.

HTAR mengambil inisiatif mengubah suai beberapa kawasan seperti asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian menjadi wad sementara bagi merawat pesakit COVID-19.

Hospital itu dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, pihak mereka menerima jumlah pesakit yang ramai setiap hari menyebabkan kesesakan teruk sehingga beberapa katil terpaksa diletakkan di luar untuk merawat pesakit COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.