Dewan rakyat tunggu notis sidang khas Parlimen

10

13 JULAI: Kabinet belum mengeluar notis khas bagi membolehkan Parlimen memanggil sesi Sidang Khas Dewan Rakyat mulai 26 Julai ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu notis Kabinet sebelum memaklumkan kepada Ahli Parlimen agenda persidangan khas berkenaan.

Rashid berkata, notis 28 hari biasanya diberikan kepada Ahli Parlimen, tetapi mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat, mereka memerlukan notis khas daripada Kabinet memandangkan ia adalah persidangan khas.

“Disebabkan persidangan itu mengenai hal ehwal kerajaan, kami perlu menunggu notis bertulis untuk tahu (agendanya).

Sebaik sahaja Ahli Parlimen mendapat kelulusan, mereka akan mengadakan mesyuarat dua jawatankuasa untuk membincangkan logistik persidangan hibrid kerana ada yang akan menghadiri persidangan itu sendiri, manakala yang lain akan mendaftar secara dalam talian,” katanya kepada sebuah portal berita hari ini.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, Ahli Parlimen sudah mengemukakan cadangan untuk mengadakan persidangan hibrid kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami hanya boleh mengadakan mesyuarat dua jawatankuasa selepas mendapat notis itu,” katanya.

Terdahulu, veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan dipetik berkata, Ahli Parlimen belum menerima sebarang notis berhubung persidangan Parlimen.

Pada 5 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan persidangan khas selama lima hari mulai 26 Julai ini untuk memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengumuman itu menyusul gesaan berulang kali Istana Negara supaya Parlimen bersidang semula bagi membincangkan langkah berhubung krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.