ADUN BERSATU Johor Tarik Diri Tidak Benar

11

13 JULAI: Tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor mahu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu yang kini diterajui UMNO.

Malah, Ahli Jawatankuasa BERSATU Johor, Datuk Osman Sapian menegaskan kenyataan dibuat ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang juga wakil rakyat daripada partinya lebih kepada pandangan peribadi. 

Beliau berkata, kenyataan dibuat Che Zakaria semalam yang mengaitkan lima nama ADUN parti tersebut telah tular di media sosial sekali gus menaikkan suhu politik di negeri itu.

“Sebenarnya perkara ini saya telah mendapat maklum balas daripada ADUN terlibat itu, malam tadi.

“Saya sendiri tidak dihubungi tentang perkara tersebut, dan ia mungkin pandangan peribadi Zakaria selaku ADUN Permas yang memberi gambaran agar kerjasama patut diberikan ADUN Bersatu iaitu ketua kerajaan negeri sekarang, Datuk Hasni Mohamed, ” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kempas, Johor, hari ini.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan ADUN BERSATU sedia menarik sokongan diberikan terhadap kerajaan PN Johor jika UMNO terus mendesak Perdana Menteri dan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Zakaria sebelum itu menyatakan sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor diterajui oleh UMNO runtuh.

Dalam pada itu, Osman memberitahu beliau telah pun bercakap dengan empat lagi ADUN BERSATU dan mereka sendiri melahirkan rasa terkejut kerana tidak ada menyatakan apa-apa pendirian lagi. 

ADUN Kempas itu tidak menolak kemungkinan isu berkenaan timbul berikutan hubungan kepimpinan Menteri Besar Johor yang renggang dengan ahli BERSATU kebelakangan ini.

“Jika betul perkara sebegitu berlaku (tarik sokongan) selalunya ADUN BERSATU akan rujuk dan minta nasihat saya sebagai bekas Pengerusi Bersatu Johor namun, setakat ini tiada yang datang untuk bincang dan tanya pendapat berkaitan isu itu. 

“Hasni juga seharusnya membentuk hubungan harmoni dalam kalangan kesemua pemimpin untuk mengelak keadaan politik yang kini semakin goyah,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.