200 rakyat Malaysia di Arab Saudi layak tunai haji

8

13 JULAI: Kerajaan akan memberi penerangan khas kepada kira-kira 200 rakyat Malaysia kini berada di Arab Saudi dan layak menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sesi penerangan khas itu dijangka pada Khamis ini, selaras dengan keputusan Arab Saudi untuk memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke negara tersebut seperti diumumkan semalam.

“Tahun ini tiada jemaah haji kecuali yang menetap di sana. Jadi kami akan membuat satu sidang video dengan bakal jemaah haji Malaysia yang berada di Arab Saudi.

“Insya-Allah kalau tiada aral, Khamis ini sesi berkenaan akan diadakan. Ia penting untuk kami kenal pasti berapa sebenarnya jumlah jemaah haji selain memberi semangat dan sokongan kepada mereka.

“Angka (jumlah) setepatnya belum ada lagi kerana ada yang sudah merujuk kepada Lembaga Tabung Haji yang telah pun mengambil inisiatif membuat kursus secara dalam talian kepada mereka yang bakal menunaikan haji pada tahun ini,” katanya selepas memberi sumbangan bakul makanan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada golongan memerlukan di Ipoh Perak, hari ini.

Semalam dilaporkan, kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu dan berita itu dikongsi Zulkifli menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Zulkifli turut berkongsi pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu.

Dengan perkembangan terbaru itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi COVID-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan membuat ketetapan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca dibenar menunaikan haji sekali gus menimbulkan keresahan rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac.

Ditanya mengenai keperluan sama ada jemaah haji perlu mengambil dos tambahan, Zulkifli berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

“Bagi saya semalam adalah satu keputusan yang amat baik, cumanya keputusan itu akan dilihat dari semasa ke semasa. Namun kita perlu tunggu dan lihat selama dua hingga tiga bulan lagi akan keberkesanannya, selain beberapa dasar yang akan diubah, jika ada,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.