PKMS rayu bantuan tambahan daripada Kerajaan

15

12 JULAI: Kerajaan disaran agar mewujudkan beberapa mekanisme bantuan termasuk pembiayaan baharu bagi menyelamatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA), Datuk Faridah A Jabbar berkata, bantuan kewangan kerajaan demi kelangsungan perniagaan PMKS amat dialu-alukan oleh komuniti peniaga.

“Sasaran pembiayaan adalah bagi PMKS sektor bukan penting seperti pengusaha kedai sukan, spa dan kecergasan, urutan, gunting rambut, rawatan selepas bersalin, pengurusan acara dan katering.

FARIDAH

“Pembiayaan khusus juga boleh diwujudkan untuk meneruskan perniagaan dan bukan digunakan untuk melangsaikan pembayaran tunggakan pinjaman bank dan kos bulanan,” katanya kepada media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai bantuan kewangan seperti Dana Pinjaman Mudah PKS daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) serta sejumlah RM12 bilion yang diluluskan kepada 25,000 PMKS.

“Tambahan dana sebanyak RM2.9 bilion melalui skim mikrokredit juga adalah kesinambungan kepada bantuan sedia ada namun, yang menjadi kerisauan kami adalah sama ada bantuan itu dan juga yang bakal diumumkan kerajaan mampu mencapai sasaran PMKS yang terkesan terutama Bumiputera.

“PMKS Bumiputera hanya bergantung kepada agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Terbaharu, kerajaan pada 28 Jun mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan menambah peruntukan RM2 bilion sebagai dana untuk PKS dan usahawan mikro.

Dalam pada itu, Faridah memaklumkan, tahap ketahanan menanggung kos pegangan perniagaan PMKS juga akan merosot apabila tidak dibenarkan menjalankan operasi secepat mungkin.

MOHAMED ZAMRI

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, langkah pantas kerajaan memberikan bantuan tunai serta one off, di samping program skim pembiayaan bersasar memberi semula peluang untuk PMKS meneruskan perniagaan.

“Penjaja kecil khususnya amat terkesan disebabkan pelaksanaan PKP bagi mengekang COVID-19. Perniagaan mereka kebanyakannya tertumpu kepada pembelian orang ramai secara fizikal.

“Bagaimanapun, sekatan pergerakan, majoriti terpaksa menutup perniagaan. Bantuan tunai serta skim pembiayaan yang menumpukan kepada PMKS sangat membantu untuk mengekalkan operasi.

“Ia adalah bantuan kewangan yang sangat diharapkan. Malah, beberapa agensi turut mempermudahkan permohonan mendapatkan pembiayaan mikrokredit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.