Pembantu Gerai Buah Ditahan Hina TMJ

36

12 JULAI: Seorang pembantu gerai buah ditahan pihak polis semalam selepas memuat naik 12 video mengandungi komen jelik serta menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Ayer Hitam, Batu Pahat, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Menurut beliau, lelaki berkenaan dikesan memuat naik video dengan komen jelik dan menghina TMJ itu menerusi akaun Instagram, ‘amirul_naito’.

“Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangkar Pulai, di sini, berhubung video dimuat naik suspek, kira-kira jam 9 pagi, semalam. Sebanyak sembilan lagi laporan polis turut dibuat semalam, susulan video berkenaan yang turut tular sejak semalam.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya mengesan dan menahan suspek di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.

“Permohonan reman dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menegaskan, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes ugutan jenayah dan khianat.

Menurut beliau, siasatan akan dibuat terhadap motif suspek memuat naik video dengan kata amat jelik serta menghina TMJ  dan akan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya menasihatkan masyarakat agar tidak menyalah guna media sosial dengan memuat naik video dengan kata-kata jelik, apatah lagi bersifat menghina.

“Polis Johor akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalah guna media sosial,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.