Kes rasuah Guan Eng dibicarakan esok

10

12 JULAI: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan dibicarakan atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, mulai esok.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini, menolak permohonan Guan Eng supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

“Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.

“Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-undang yang berbangkit.

“Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi Seksyen 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah. Sehubungan itu, notis pemohon ditolak,” katanya.

Selepas mendengar keputusan itu, peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memohon mahkamah membenarkan penangguhan kes di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, menegaskan pihaknya sudah menyusun saksi untuk perbicaraan pada minggu ini.

“Saksi ini bukan datang dari Selangor dan Negeri Sembilan, sebaliknya dari Pulau Pinang,” katanya.

Mahkamah kemudian menolak permohonan penangguhan prosiding kes di Mahkamah Sesyen.

Berikutan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan didengar esok.

Pada Khamis lalu, Guan Eng memfailkan permohonan supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.