Kerajaan siasat isu jual slot janji temu vaksinasi

24

12 JULAI: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menyiasat isu penjualan slot janji temu vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Penyeleras PICK, Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia bagi memastikan siasatan kes berkenaan dilakukan secara telus dan adil.

Khairy berkata CITF juga sudah memberikan kerjasama kepada PDRM untuk menyiasat tentang kes berkenaan, sejak Jun lalu dan sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh polis.

“Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan “Standby List” telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

KHAIRY

“Selain daripada memperkemaskan lagi pemantauan di PPV melalui garis panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata terdapat beberapa langkah segera yang diambil oleh PPV apabila menerima laporan kehadiran individu positif COVID-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan melaksanakan ujian COVID-19 ke atas para petugas.

Khairy berkata beliau juga telah mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk PPV agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai yang telah melakukan ujian COVID-19 untuk bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

“Orang ramai diseru untuk mengamalkan semua SOP yang telah ditetapkan, terutamanya memastikan penjarakan fizikal di PPV yang mana amat penting dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata siasatan awal mengenai dakwaan suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput mendapati bahawa perkara tersebut adalah tidak benar.

Beliau berkata secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa. Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.