Pimpinan Tertinggi Komponen BN Bincang Pendirian UMNO

163

11 JULAI: Sebarang ketetapan yang diputuskan di peringkat parti kompenan Barisan Nasional BN secara dasarnya akan dimaklumkan dalam peringkat parti tersebut secara keseluruhan.

Justeru, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mendapatkan pandangan pimpinan tertinggi parti kompenan untuk mengadakan perbincangan berhubung keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Dalam hal ini saya akan rujuk dengan pimpinan-pimpinan parti kompenan terlebih dahulu. 

“Ini kerana sepertimana kita sedia maklum, apa juga yang diputuskan di peringkat kompenan, tentunya akan dimaklumkan di peringkat BN,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan MIC yang mahu pendirian UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri perlu dibincang dalam Majlis Tertinggi BN sebelum dimuktamadkan.

Terdahulu, MIC mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), baru-baru ini yang memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin. 

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata partinya akan menunggu keputusan perbincangan di peringkat Barisan Nasional (BN) sebelum membuat keputusan muktamad.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata sebagai sebuah parti politik, keputusan itu adalah pendirian UMNO dan sebagai rakan kongsi MIC menghormati keputusan MKT UMNO berkenaan.

Saravanan berkata beliau percaya perkara itu akan dibincangkan secara baik di peringkat BN, sebelum membuat keputusan muktamad.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.