Permohonan i-Citra boleh dibuat mulai esok

61

11 JULAI: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok.

Pengeluaran tersebut adalah tiga hari lebih awal daripada tarikh asal dan boleh dilakukan melalui icitra.kwsp.gov.my.

KWSP berkata, bagi memudahkan untuk mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Bagi maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.