Perjuangan untuk UMNO akan diteruskan -Annuar Musa

104

11 JULAI: Walaupun menerima pelbagai kritikan daripada rakan parti namun Bekas Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan akan terus berjuang bagi memastikan UMNO menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Beliau berkata, perjuangan itu akan sentiasa diteruskan agar UMNO tidak diseret songsang ke arah jajaran yang bercanggah dengan keputusan UMNO. 

“Kalau saya menentang individu tertentu, jangan cuba gambarkan saya menentang UMNO kerana parti itu bukan milik individu dan jangan jadikan UMNO perisai untuk masalah individu.

“Cukuplah belajar dari sejarah, UMNO ditolak rakyat kerana kesilapan individu-individu yang kadangkala berpunca dari isu dan kesalahan yang UMNO langsung tidak tahu-menahu.

“Saya terus istiqamah memilih jalan yang baik lagi benar untuk UMNO agar UMNO selamat dari kesilapan masa lalu dan tidak menjadi tunggangan individu,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

ANNUAR kecewa dengan fitnah dan berita palsu yang mengaitkan dirinya sebagai pentaksub BERSATU.

Justeru, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengharapkan agar UMNO menjadi parti yang menunjangi penyatuan dan perpaduan Melayu bukan berhempas pulas menjatuhkan sesama sendiri. 

“Insya-Allah, sudah semakin ramai kenal mereka yang berbohong dan menipu…yang mana satu intan, yang mana satu batu. Kepada pereka fitnah, hidup anda tak mungkin diberkati. Hajat anda tak akan kesampaian…itu pasti,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa beliau dan Setiausaha Akhbarnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz merupakan cyber troopers Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan menjadi duri dalam daging buat UMNO.

Mengulas lanjut perkara tersebut, beliau kecewa dengan fitnah dan berita palsu yang sering mengaitkan dirinya ‘pentaksub’ BERSATU dan hendak merosakkan serta melemahkan UMNO.

Tanpa menyebut nama penulis tersebut, beliau menegaskan fitnah itu dicipta sendiri oleh pihak berkenaan kerana sesetengah nama yang dicipta adalah individu yang tidak dikenali oleh beliau. 

“Insya-Allah, fitnah begini tak kemana. Lagi kuat sebar fitnah lagi derita dan kacau jiwa pereka dan penyebar yang mempercayainya. Mereka lupa saya ini dulu Ketua Penerangan dan Setiausaha Agong UMNO yang mengenali dan mengetahui siapa yang sejak dulu membuat kerja begini.

“Ternyata mereka tidak mengenali saya. Saya tidak perlu mereka-reka berita palsu. Malah baru semalam saya memberi pandangan tentang berita palsu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa kerajaan terlalu lemah mengawal berita palsu. 

“Saya tak perlu reka berita palsu. Kalau ada isu terhadap sesiapa, track record (pencapaian) saya…saya berdepan sendiri secara langsung tanpa ada rasa takut mahupun suka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.