Media Harus Proaktif Bongkar Berita Palsu

30

11 JULAI: Pihak media pelbagai medium termasuk stesen televisyen, radio, akhbar dan platform dalam talian digesa untuk terus mempergiatkan usaha bagi mengenal pasti serta membongkar berita palsu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya juga turut mengharapkan agar pihak media proaktif dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai ancaman berita palsu dan langkah bagi mencegah perkara itu.

Menurut beliau, terdapat peningkatan ketara penyebaran maklumat atau berita palsu kebelakangan ini sama ada mengenai pandemik COVID-19, vaksinasi, kesihatan, sosial mahupun politik. 

“Ini kerana penyebaran maklumat mahupun berita palsu boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan orang ramai serta menjejaskan usaha membanteras penularan COVID-19 dengan berkesan.

SAIFUDDIN

“Dalam konteks penyebaran maklumat, pihak media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan pihak media memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi berita palsu sejak bermula krisis berkenaan.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta beberapa agensi bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik COVID-19.

“Antaranya pemantauan oleh Pasukan Respon Pantas sejak Mac tahun lalu yang telah menangkis sebanyak 464 berita palsu, katanya.

Tambah Saifuddin, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac 2021 bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang COVID-19 dan kesihatan.

“Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian berita palsu. Marilah bersama-sama mencegah berita palsu,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.