Kes COVID-19 dijangka turun 2 minggu lagi

33

11 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes harian baharu COVID-19 di negara ini mula stabil sebelum menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ia mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.

Kata Noor Hisham, lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas berikutan lebih banyak saringan bersasar COVID -19 dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang kini dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“KKM sudah menjangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.

NOOR HISHAM

“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu.

“Pada masa sama proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Nation bertajuk COVID -19: Apa Lagi Ikhtiar Kita terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Bernama Ras Adiba Radzi malam tadi.

Kata Dr Noor Hisham dengan mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua COVID -19, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baru.

Menurutnya pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.