Kematian COVID-19 meningkat hampiri 100 kes

28

11 JULAI: Kes kematian COVID-19 mencatatkan peningkatan semula apabila Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan 91 kes kematian berbanding semalam hanya 87 kes dicatatkan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 86 rakyat tempatan dan lima warga asing.

Menurut beliau, ini jumlah kumulatif kes kematian wabak tersebut berjumlah 6,158 kes atau 0.74 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebanyak 91 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 34 kes di Selangor, 21 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 12 kes di Negeri Sembilan, dan lapan kes di Melaka. 

NOOR HISHAM

“Selain itu, enam kes di Johor, tiga kes di Pahang, dua kes di Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu COVID-19 hari ini turut mencatatkan penurunan iaitu 9,105 dan daripada jumlah itu, 9,087 daripada adalah kes tempatan manakala 18 lagi merupakan kes import. 

“Kes sembuh hari ini turut mencatatkan penurunan iaitu 5,194 kes berbanding semalam iaitu 5,910 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 742, 297 kes. 

“Jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 961 orang termasuk dan 455 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 87,841 atau bersamaan 10.50 peratus,” katanya. 

Sementara itu Noor Hisham berkata, kluster baharu hari ini mencatatkan penurunan berbanding semalam iaitu 19 kluster, di mana 13 daripadanya adalah kluster baharu  di tempat kerja, lima kluster baharu komuniti dan satu lagi adalah kluster kumpulan berisiko tinggi. 

Menurut beliau, bagi kluster di tempat kerja, tiga daripada direkodkan di Selangor iaitu di Industri Jalan Rukun, Industri Jalan Subang 13 serta Jalan Industri Dua Rawang manakala Johor juga terdapat tiga lokaliti dikesan iaitu Jalan Cengal, Cahaya Yong Peng dan Jalan Dedap 13.

“Di Kuala Lumpur, dua lokaliti turut dikesan merupakan kluster baharu iaitu Jalan Pantai Baharu dan Jalan Sri Hartamas serta di Kelantan juga, dua lokaliti turut direkodkan iaitu di Kampung Perangkap, Kelantan dan Bandar Baru Tunjong. 

“Manakala kluster baharu kerja selebihnya terletak di Tapak Bina Jalan Thean Teik, Pulau Pinang; Kayu Patikang, Sabah; dan Tapak Bina Solar Beriah di Perak di samping Jalan Awan Cempaka di Kuala Lumpur merupakan kluster baharu kumpulan berisiko tinggi. 

“Bagi kluster komuniti, tiga daripadanya terletak di Kuala Lumpur iaitu di Batu Muda, Kampung Padang Balang dan Taman Koperasi Polis Kepong serta selebihnya dicatatkan di Melor Intan di Perak di samping Jalan Mawar Belitong di Johor,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.