Buka kilang selepas semua pekerja divaksin

19

11 JULAI: Pemuda UMNO menggesa agar kerajaan hanya membenarkan kilang-kilang beroperasi selepas semua pekerjanya menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan mengarahkan semua kilang di Selangor ditutup kecuali berkaitan makanan dan perubatan.

“Laksanakan hanya di Lembah Klang iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencatat kes begitu tinggi

“Sebagaimana cadangan saya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menyerahkan cadangan menerusi #TuntutanRakyat, laksanakan ‘total lockdown’ penuh, bukan separa masak seperti sekarang,”katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menegaskan, kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) akan berhadapan tindakan tegas termasuk diarah tutup serta-merta sebagai usaha menangani pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan juga digesa memecat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa menjadi punca utama kegagalan sekatan pergerakan penuh.

“Jangan dilayan lagi rayuan Menteri MITI yang lebih kepada nak jaga tauke-tauke kilang berbanding rakyat marhaen,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, sayap pemuda UMNO turut menuntut bantuan khas COVID-19 iaitu bantuan bakul makanan ditambah dan disegerakan terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.