PKPD beberapa lokaliti di Sabah bermula 12 Julai

38

10 JULAI: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kota Kinabalu, Papar dan Tawau, Sabah, selama 14 hari mulai Isnin ini.

Lima lokaliti berkenaan ialah QL Farm, Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu; Taman Kingfisher Sulaman, Kota Kinabalu dan Bandaran Berjaya , Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan bagi pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti terbabit atas faktor berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kawasan terbabit, dalam tempoh yang singkat.

“Jumlah positif COVID-19 di ketiga-tiga lokaliti yang dikenakan PKPD di Kota Kinabalu adalah 50 orang dengan Kampung Suang Parai merekodkan kes tertinggi iaitu 22 kes.

“PKPD dilaksanakan di Kampung Pikat, Bongawan, Papar pula kerana peningkatan kes mendadak di kawasan terbabit dalam tempoh seminggu dan hasil 89 saringan dijalankan, 15 penduduk didapati positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD selama dua minggu di kesemua lokaliti terbabit sehingga 25 Julai depan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan pelanjutan PKPD di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah berkuatkuasa Isnin depan selepas 23 lagi penduduk disahkan positif COVID-19, hasil 146 saringan keseluruhan yang dijalankan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan 52 premis perniagaan, kilang dan tapak pembinaan ditutup serta merta kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan di seluruh negara semalam.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah selari dengan usaha kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang  dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM menahan 417 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP di seluruh negara, semalam termasuk  408 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (96); tidak memakai pelitup muka (74), tiada penjarakan fizikal (58), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (46), membawa penumpang berlebihan (34), premis gagal patuhi arahan (12), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani ujian saringan (6) dan lain-lain (9),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.