Kertas siasatan SPRM kes ceroboh tanah Raub hampir siap

28

10 JULAI: Kertas siasatan kes pencerobohan tanah milik kerajaan negeri Pahang untuk penanaman durian musang king secara haram di Raub, Pahang kini hampir siap, sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) bagi tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, berkata siasatan SPRM mengambil masa agak lama dan kini sudah siap hampir 80 peratus.

Azam berkata SPRM juga sudah memanggil peneroka dan pihak berkuasa berkaitan untuk diambil keterangan masing-masing bagi melengkapkan kertas siasatan kes terbabit.

“Kita harus faham, dalam isu ini ada dua perkara. Pertama, berbangkit ketidakpuasan hati masyarakat dalam kes berkenaan dan SPRM tidak boleh campur tangan kerana ia membabitkan siasatan pihak berkuasa lain.

“Kedua, isu rasuah. Di sini kita sudah buka fail siasatan untuk tindakan lanjut. Beri kami masa dan kerana kes (pencerobohan tanah) yang berlaku ini bukanlah kes baharu, ia sudah lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub itu adalah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.