Kawalan keselamatan luar kawasan PKPD dipertingkatkan

11

10 JULAI: Polis meningkatkan kawalan keselamatan di luar kawasan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan memasang kawat duri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata langkah berkenaan dibuat bagi membendung pencerobohan orang awam dari luar pagar kawat duri yang memasuki lokaliti PKPD.

“Di Kuala Lumpur misalnya, mereka buat PKPD secara lokaliti dengan memasang kawat duri yang didapati efektif bagi mengelakkan pergerakan penduduk dan orang awam.

“Namun, timbul isu dilaporkan ada dalam kalangan mereka yang keluar masuk dengan melalui kawat duri itu, jadi kami rasakan kawalan di luar juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan ia berlaku lagi,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya Plaza Tol Gombak hari ini.

Datuk Seri Mazlan Lazim

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang disyaki menyusup masuk melalui dawai duri di kawasan PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas sebuah video insiden berkenaan yang dirakam orang awam tular di media sosial.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai situasi negara berikutan perkembangan semasa, Mazlan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terkawal.

“Tidak ada perkara yang menjadi kebimbangan kami dan rakyat dinasihat untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.