GPS sepakat terus sokong PN bawah kepimpinan Muhyiddin

19

10 JULAI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat Majlis Tertinggi GPS, hari ini.

“Mesyuarat hari ini diadakan khusus untuk membincangkan situasi politik semasa khususnya yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

“Hasil mesyuarat itu, semua komponen GPS mencapai kata sepakat untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Muhyiddin,” katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat itu di Ibu Pejabat PBB, Kuching, Sarawak hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Nelson Balang Rining.

Pada Rabu lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri berkuatkuasa serta-merta.

Berikutan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pada mesyuarat itu GPS turut berpendirian, sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik kerana ia boleh menggugat kestabilan.

“Sekarang masa bagi semua rakyat bersatu bagi membawa negara keluar daripada krisis pandemik COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.