Wan Saiful Cabar Anwar Dedah Tawaran

158

9 JULAI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar agar mendedahkan tawaran kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kedua-dua pemimpin itu sanggup mensabotaj perpaduan parti-parti Melayu bagi digantikan dengan jajaran baharu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini perlu dilakukan ekoran pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa Presiden UMNO mempunyai dendam peribadi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Itu satu pendedahan yang besar. Kedua-dua pemimpin tersebut iaitu Ahmad Zahid dan Najib kini sedang menghadapi kemungkinan besar masuk penjara.

“Mungkinkah Ahmad Zahid dan Najib pernah minta Muhyiddin campur tangan urusan mahkamah tapi Muhyiddin tak mahu?

“Mungkinkah ketegasan integriti Perdana Menteri mempertahankan kebebasan mahkamah merupakan sebab sebenar kenapa Ahmad Zahid dan Najib beria-ia menjadikan Muhyiddin sebagai sasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan Mohamed Nazri mendedahkan 

Presiden UMNO berdendam dengan Muhyiddin kerana enggan menolongnya dalam menyelesaikan pertuduhan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Nazri berkata tindakan Ahmad Zahid menggunakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan disebabkan perbicaraan kesnya yang semakin hampir dijatuh hukuman dan sudah kesuntukan masa.

Sementara itu, Wan Saiful berpandangan satu matapetaka besar jika dakwaan itu benar sekiranya Ahmad Zahid dan Najib menggunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri mereka sendiri.

“Saya sering katakan bahawa UMNO ialah parti lama yang mempunyai ramai ahli akar umbi yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Jika agenda kita ialah agama, bangsa dan negara, maka agenda kita sama.

“Tetapi adakah Ahmad Zahid dan Najib mempergunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri mereka sendiri sahaja? Kalau benar, ini merupakan satu malapetaka besar,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.