Tiada pujukan untuk sokong PM

79

9 JULAI: Biarpun UMNO sudah menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan memujuk mana-mana ahli Parlimen supaya terus menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang khas Dewan Rakyat, mulai 26 Julai ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau yakin majoriti Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan PN (PNBBC), termasuk dari Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata perkembangan semasa berkenaan juga sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik BERSATU, selain pelbagai isu ekonomi dan masalah rakyat.

AHMAD FAIZAL

“Kami berpendirian bahawa segala tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menyelamatkan negara daripada pandemik COVID-19, memperbaiki ekonomi rakyat, dan untuk memastikan agar rakyat hidup kembali seperti normal.

“Inilah tumpuan utama kami. Jadi walaupun isu politik itu agak penting juga, tetapi tumpuan kepada usaha yang jauh lebih penting ini kami beri perhatian yang lebih serius,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau program ‘outreach’ vaksinasi di Kampung Sungai Lah, Tapah, Perak, hari ini.

Ahmad Faizal berharap, semua pihak akan menggunakan sepenuhnya sidang khas Parlimen itu untuk fokus terhadap permasalahan rakyat.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata beliau berharap tidak ada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika sidang khas itu kelak.

Mesyuarat MKT UMNO, pada 7 Julai lalu, memutuskan bahawa parti berkenaan kini menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, berkuat-kuasa serta-merta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.