PNBBC bebas sokong kepimpinan PM

54

9 JULAI: Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi penjelasan dan kebebasan kepada Ahli Parlimen dari parti itu untuk terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Presiden UMNO juga telah menyatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen berlangsung dan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bagaimanapun, merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 8 Julai 2021 terdapat pertambahan ketetapan baharu yang dikenakan kepada Ahli Parlimen UMNO apabila perlu menjadikan keputusan parti sebagai panduan di dalam melaksanakan tanggungjawab ketika sidang Parlimen.

“Perkara ini dilihat tidak menggambarkan keputusan awal yang telah diumumkan oleh Presiden UMNO. Sehubungan dengan itu, kami ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO iaitu memberikan kebebasan budi bicara kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan juga mengucapkan  terima kasih juga diucapkan kepada majoriti Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional serta seluruh ahli Parlimen PNBBC yang menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“Diharapkan kita semua memberikan penekanan utama kepada usaha melawan COVID-19 dan mensejahterakan kehidupan rakyat daripada terus berpolitik dalam era pandemik ini. Tingkatkan vaksinasi dan teruskan usaha membela nasib rakyat!

Get real time updates directly on you device, subscribe now.