MP UMNO Kekal Dalam Kerajaan Beri Implikasi Positif

94

9 JULAI: Krisis dan kontroversi politik yang dicetuskan UMNO bakal memberi hikmah kepada majoriti ahli Parlimen parti itu yang kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana akan menyerlahkan integriti dan kewibawaan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sikap ‘berani kerana benar’ majoriti ahli Parlimen UMNO yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding parti mereka sendiri, dijangka memberi implikasi positif pada pandangan mata rakyat pada saat negara berdepan krisis COVID-19.

Beliau berkata, rakyat juga akan melihat ahli-ahli Parlimen UMNO akan bersikap lebih matang dalam mempertahankan kerajaan PN ditunjangi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Lagipun, Perdana Menteri sanggup melakukan keputusan luar biasa dengan melantik pemimpin UMNO bagi menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri demi mengukuhkan kepimpinan kerajaan dalam mendepani krisis COVID-19.

MOHD REDZUAN

“Saya anggap keputusan UMNO Rabu lalu kurang cerdik dan bakal memudaratkan mereka namun tindakan politik UMNO itu memberi hikmah kepada ahli-ahli Parlimen parti itu yang kekal menyokong kerajaan. 

“Ini kerana mereka akan dilihat dan dipandang sebagai ‘berani kerana benar’ dan berintegriti,” katanya kepada media, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media lewat malam Rabu terhadap masa hadapan 38 ahli Parlimen UMNO, susulan MKT sudah memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta-merta. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Ditanya motif sebenar UMNO memuktamadkan keputusan menarik diri itu, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan berpendapat langkah itu dibuat bagi melindungi pemimpin-pemimpin utama parti itu yang terpalit kes mahkamah.

“Kita sudah jangka keputusan sebegini kerana segelintir pemimpin utama UMNO ghairah menggunakan parti itu bertujuan melindungi kes mahkamah mereka.

“Soal sama ada kerajaan tumbang tidak penting. Tetapi isu paling besar adalah rakyat mula nampak sikap sebenar pemimpin UMNO yang tergamak mendahului kepentingan politik peribadi pada saat kerajaan PN bergelut menangani COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.