Ismail Sabri tekad lakukan yang terbaik

33

9 JULAI: Timbalan Perdana Menteri (TPM) , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui menggalas satu amanah lebih besar dan bertekad melakukan yang terbaik buat rakyat dan negara ini.

Perkara itu dikongsikan oleh beliau yang juga Menteri Pertahanan di Facebook miliknya, hari ini.

“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai.

“Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik,” katanyanya yang turut berkongsi gambar beliau memulakan tugasan sebagai TPM, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya memaklumkan pelantikan Ismail Sabri itu sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

PMO berkata, pelantikan itu juga dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan menge­tuai Kluster Ke­­selamatan di samping akan mem­bantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan selamat bertugas kepada Ahli Parlimen Bera itu yang disampaikan menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini. 

“Hari ini hari pertama (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob menjawat secara rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selamat bertugas. 

“Jangan benarkan orang lain buka pintu belakang lagi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.