BERSATU Perak kekal sokong Saarani sebagai MB

26

9 JULAI: Walaupun UMNO sudah menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak tetap menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad untuk menerajui kerajaan negeri.

Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini beliau belum bertemu dengan Saarani bagi membincangkan perihal kemelut politik semasa ketika ini.

“PAS dan BERSATU akan terus mendukung kerajaan dipimpin Saarani dan kami akan terus membantu beliau untuk membantu rakyat di waktu sukar ini. BERSATU dan PAS sentiasa berpegang kepada janji,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU mengulas mengenai hubungan BERSATU dan UMNO di Perak susulan pergolakan politik di peringkat pusat.

Ini berikutan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta, kelmarin.

Pada sidang media awal, pagi 8 Julai lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Sehubungan itu, Zahid berkata, tempoh memberikan sokongan dan mandat UMNO kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.

Bagaimanapun kenyataan lima muka surat yang dibaca oleh Presiden UMNO itu tidak menyatakan sama ada ahli-ahli Parlimen parti itu yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Muhyiddin akan meletakkan jawatan atau sebaliknya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.