Amirudin Syor Kilang Di PKPD Selangor Kekal Ditutup

63

9 JULAI: Kerajaan Selangor mencadangkan agar sektor ekonomi dan industri yang tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini, kekal ditutup sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, membuat syor itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, berikutan jumlah kes COVID-19 yang tinggi direkodkan di kawasan dikenakan PKPD.

Berikutan itu, beliau menegaskan, beliau mencadangkan supaya MKN mempertimbangkan untuk membenarkan sektor yang perlu sahaja beroperasi di dalam kawasan PKPD.

“Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes, serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.

AMIRUDIN

“Dalam mesyuarat hari ini, saya telah mengesyorkan beberapa cadangan kepada MKN iaitu mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Amirudin turut mencadangkan kepada MKN agar vaksinasi kumpulan pekerja di Selangor dipercepatkan, dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

“Kerajaan Selangor melihat matlamat pelaksanaan PKPD, iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara, masih belum dicapai.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor mencadangkan agar sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya.

Semalam, Selangor mencatat kes harian COVID-19 tertinggi di negeri itu dengan 4,152 kes, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan 8,868 kes baharu di seluruh negara.

Sejak 3 Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor selama 14 hari sehingga 16 Julai depan berikutan negeri itu menunjukkan trend jangkitan tinggi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.