376,909 dos vaksin telah diberikan kepada rakyat semalam

17

9 JULAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan dengan 376,909 dos diberikan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jumlah berkenaan adalah angka tertinggi dos vaksin diberikan kepada rakyat Malaysia dalam sehari, sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilancarkan pada 24 Febuari lalu.

“Bagi yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, kerajaan berharap mereka dapat tampil berbuat demikian menerusi aplikasi MySejahtera atau sesawang vaksincovid.com.my atau talian hotline 1-800-88-8828.

“Pendaftaran juga boleh dibuat secara manual di klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan terus komited dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, Sabah dan PKPD di Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, mulai 11 Hingga 24 Julai nanti.

Beliau berkata PKPD dilaksanakan di Blok 11 dan 12, Lorong 4, Sandakan, Sabah, selepas laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kawasan terbabit.

Malah, sehingga kini sembilan daripada 16 individu yang menjalani ujian saringan dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di kawasan terbabit.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal PKP dan nasihat KKM, maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD  di kawasan terbabit mulai 11 hingga 24 Julai ini.

“Pelaksanaan PKPD berkenaan bertujuan menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar daripada lokaliti berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.