Zahid gagal jaga perpaduan parti Melayu

104

8 JULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah seorang pemimpin yang gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan di kalangan parti-parti politik Melayu-Islam.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Ahmad Zahid juga didakwa gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, gagal memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan.

Wan Saiful berkata Ahli Parlimen Bagan Datoh juga gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi.

Justeru, BERSATU juga menolak tuduhan Presiden UMNO bahawa kerajaan telah gagal memenuhi aspirasi rakyat dan kenyataan Zahid hanya merupakan ulang suara tohmahan yang sering disebut oleh pembangkang, terutama PKR dan DAP.  

“Malah, kerajaan pimpinan Perdana Menteri sudah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dalam membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion.

“Tidak pernah ada pakej bantuan yang lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.

“Malah, Pelan Pemulihan Negara pula menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak COVID-19. Vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos dengan pemberian vaksin harian juga telah meningkat melebihi 300,000 dos sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Beliau berkata dari segi menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat, serta membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan.

“Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata pengumuman dibuat oleh Presiden UMNO, awal pagi tadi, tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli Parlimen.  

Get real time updates directly on you device, subscribe now.