UMNO Sabah kekal bersama GRS

176

8 JULAI: UMNO Sabah kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dikatakan membuat keputusan sebaliknya dengan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa hari ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO Sabah tiada alasan untuk meninggalkan GRS kerana kerajaan negeri berkenaan menjalankan tugasnya dengan baik.

Berikutan itu, UMNO Sabah berpandangan, GRS mesti dipertahankan dan kekal utuh sejajar dengan mandat rakyat.

“Pertama sekali, kami baru sahaja mengadakan pilihan raya negeri, dan kedua, tidak perlu keluar daripada kerajaan (negeri) sekarang kerana masih berfungsi dan mendapat kepercayaan rakyat untuk mengatur ekonomi, negeri dan rakyat.

BUNG MOKTAR

“UMNO Sabah akan tentukan masa depan kami sendiri,” dalam satu kenyataan dipetik sebuah portal berita hari ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata dua Ahli Parlimen UMNO Sabah iaitu beliau sendiri, mewakili Kinabatangan dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) akur dengan keputusan dibuat dalam mesyuarat MKT di peringkat Persekutuan, malam tadi.

“Jika tidak, itu bermaksud kami perlu keluar daripada parti,” katanya sambil tertawa.

Dalam pada itu Bung berkata, UMNO Sabah buat masa ini belum menetapkan syarat kepada GRS untuk kekal bersama gabungan pemerintah negeri.

“Saya percaya apa sahaja boleh dibincangkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat MKT, malam tadi, memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Zahid dalam sidang medianya berkata, perkara berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Bagaimanapun kenyataan lima muka surat yang dibaca oleh Presiden UMNO,tidak menyatakan sama ada ahli-ahli Parlimen parti itu yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Muhyiddin akan meletakkan jawatan atau sebaliknya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.