Tun Mahathir tidak berminat jadi Perdana Menteri sementara

41

8 JULAI: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri sementara berikutan tindakan UMNO umum tarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal pagi tadi.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 berkenaan berkata, fokus utama parti Pejuang pimpinannya sekarang adalah untuk membantu rakyat terkesan akibat krisis kesihatan melanda Malaysia sekarang ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau tidak mahu terlibat dengan sebarang bentuk ‘percaturan’ politik atau penjajaran baharu kerajaan yang berlaku buat masa sekarang.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk menguruskan pandemik yang kami fikir penting untuk diselesaikan. Jadi sama ada beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turun atau tidak atau apa saja berlaku kepadanya, itu disebabkan kekeliruan politik yang berlaku di negara ini.

“Semua orang nak jadi Perdana Menteri. Apa yang mereka fikirkan adalah berapa banyak wang yang mereka boleh dapat, itu sahaja. Mereka tidak berminat untuk berkhidmat atau menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya pada sidang media secara maya petang tadi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan parti Pejuang enggan campur tangan dalam isu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan beliau kekal konsisten dengan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara.

“Waktu ini bukan masa untuk politik. Waktu ini masa untuk menghadapi masalah rakyat. Jika tidak dibuat sesuatu, bilangan yang kes baharu (COVID-19) akan meningkat lagi.

“Hari ini sudah naik 8,000 kes. Kita tak boleh jamin bahawa ia tidak akan naik kepada 10,000 ke 12,000 kes. Kini kita jadi antara negara yang teruk sekali di seluruh dunia, ini hasil daripada kerajaan yang tidak cekap.

“Sebab itu kami tidak akan kerjasama dengan kerajaan tapi kerajaan patut beri kebenaran kepada kami untuk menubuhkan badan ini supaya rakyat dapat diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Pejuang kini menjadi sebuah parti yang sah selepas pendaftarannya diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkuatkuasa mulai hari ini.

Beliau berkata, kelulusan telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang telah mendaftar parti Pejuang ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah.

“Cuma kita buat melalui undang-undang, tiada sebab kenapa kami tidak boleh didaftar. Jadi akhirnya parti ini sudah didaftar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.