PAS seru pemimpin, rakyat fokus PPN

88

8 JULAI: PAS menyeru para pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama iaitu mendukung Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan dan menguruskan pandemik COVID-19.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penumpuan yang sepenuhnya mesti diberikan bagi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup rakyat serta wajib tolong-menolong tanpa mengira perbezaan agama, dan bangsa.

“Semoga Allah SWT memberi tautan hati dan tindakan buat seluruh pemimpin, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia seterusnya mengangkat wabak COVID-19 dari negara kita.

“PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri yang diberikan tanggungjawab menguruskan negara terutamanya dalam menjayakan PPN.

“Pelantikan ini juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Malam tadi, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.