MIC ambil sikap tunggu dan lihat

38

8 JULAI: Parti MIC mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi, yang memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan, berkata MIC akan menunggu keputusan perbincangan di peringkat Barisan Nasional (BN) sebelum membuat keputusan muktamad.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata sebagai sebuah parti politik, keputusan itu adalah pendirian UMNO dan sebagai rakan kongsi MIC menghormati keputusan MKT UMNO berkenaan.

“Saya tetap hormat pendirian MKT UMNO, tetapi ia (perbincangan) harus diangkat kepada BN kerana semua wakil rakyat bukanlah wakil rakyat UMNO, MIC dan MCA, tetapi BN.

“Perkara ini harus dimuktamadkan di peringkat BN walaupun saya daripada MIC, bertanding sebagai Ahli Parlimen dengan watikah yang dikeluarkan oleh BN.

“Begitu juga semua Ahli Parlimen di bawah BN, semua bertanding di atas parti masing-masing terikat di bawah BN,” katanya selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Tapah, Perak, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata beliau percaya perkara itu akan dibincangkan secara baik di peringkat BN, sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya (kedudukan parti) belum pasti lagi. Buat masa ini kami masih menyokong kepimpinan Muhyiddin.

“Saya percaya kita boleh bincang dan membuat satu keputusan yang baik kerana negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang begitu teruk.

“Rakyat sedang menderita dan sepatutnya kita fokus lebih kepada kebajikan rakyat bukan politik untuk kepentingan diri,” katanya setakat ini masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai mesyuarat di peringkat BN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.