Keputusan UMNO tidak menyebabkan kerajaan PN tumbang

309

8 JULAI : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan rasa khuatir kerajaan akan kembali ke tangan Pakatan Harapan dengan keputusan UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang diumumkan semalam.

Menurut beliau, apa yang jelas, tanpa sokongan Pakatan Harapan (PH) atau PN, kerajaan baharu tajaan UMNO tidak akan mendapat majoriti kerusi untuk mentadbir negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan UMNO itu tidak akan membuatkan kerajaan PN tumbang secara automatik atau serta-merta.

Jelasnya, ini memandangkan keputusan tersebut hanyalah keputusan parti dan bukan keputusan ahli parlimen UMNO.

“Ahli Parlimen UMNO yang sepatutnya turut menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, tidak semestinya akan berbuat demikian.

“Mungkin mereka akan dipecat daripada parti, tetapi mereka masih tetap boleh menyokong kerajaan PN,” jelasnya menerusi satu  kenyataan hari ini.

Kata Tun Abdul Hamid, selagi Muhyiddin tidak meletak jawatan atau Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Perdana Menteri baharu, maka Muhyiddin kekal dengan jawatannya.

“Muhyiddin ada pilihan sama ada menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Namun, baginda boleh untuk tidak berkenan dengan nasihat itu,” katanya.

Ketika keadaan sekarang sudah pasti menurut beliau PRU-15 tidak mungkin diadakan, maka menjadi pilihan kedua yang boleh dilakukan Muhyiddin adalah untuk cuba mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Sementara itu, tunggu saja jika Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika perkara tersebut tidak dilakukan sebelum persidangan Parlimen pada 26 Julai, satu usul tidak percaya boleh dikemukakan di Parlimen. Jika usul itu kalah, kerajaan PN akan selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, jika usul undi tidak percaya itu mendapat sokongan majoriti, maka Muhyiddin perlu meletak jawatan atau beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Mengulas keputusan UMNO tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan ditunjangi DAP- Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, PH masih mantap dengan bilangan Ahli Parlimennya, malah jika dicampur Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mungkin mempunyai majoriti.

Sebaliknya, kerajaan PN tanpa UMNO boleh menyebabkan kerajaan sedia ada hari ini kehilangan majoriti, ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.