KEPUTUSAN MKT CETUS PERSOALAN LAIN

315

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan serta merta itu, bagaimanapun tidak menyentuh kedudukan ahli-ahli Parlimen sama ada mereka juga perlu menarik sokongan atau kekal bersama Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional

Perkara tersebut menjadikan keputusan MKT itu menimbulkan persoalan lain termasuk sama ada kerajaan PN sudah jatuh atau masih kekal mentadbir negara berdepan pandemic COVID-19 serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malangnya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dalam kenyataan selepas mesyuarat menyatakan MKT membuat keputusan kerajaan ini telah gagal menangani masalah pandemik dan isu rakyat.

MKT berpendapat kegagalan itu harus dipertanggungjawab kepada Muhyiddin dan Ahli Parlimen Pagoh itu perlu meletak jawatan Perdana Menteri.

Sepatutnya, lebih baik bersama kenyataan itu dinyatakan sekali kedudukan ahli-ahli Parlimen UMNO di dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), apa tindakan mereka susulan keputusan MKT.

DR ABD LATIFF AHMAD

Malah Zahid dan beberapa ahli parlimen lain yang dilihat ‘keras’ terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga pagi ini tidak membuat sebarang pengumuman berhubung kedudukan mereka

Ini berbeza, sebagai contoh dengan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mengumum menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN.

Sekiranya Zahid, Najib atau Datuk Seri Ahmad Maslan terus berdiam diri, ini bermakna mereka masih menyokong kerajaan PN atas kedudukan ahli parlimen – suatu perkiraan penting dalam pembentukan kerajaan dan kedudukan Perdana Menteri.

Sehingga itu dimuktamadkan oleh semua ahli parlimen UMNO dan mungkin juga daripada Barisan Nasional (BN), ini bermakna kerajaan PN masih kekal, begitu juga Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

MKT yang sama mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, semalam,.

Walaupun pada perkiraan kasar angka ahli Parlimen dan pandangan sesetengah pihak bahawa kerajaan sekarang tidak cukup majoriti, sebenarnya PN masih kekal sebagai kerajaan minoriti.

DATUK DR ABD LATIFF AHMAD

AHLI PARLIMEN MERSING

Get real time updates directly on you device, subscribe now.