Bukan Masa Yang Sesuai Tukar Kerajaan Baharu-Dr Mohd Irwan

76

8 JULAI: Ini bukanlah masa yang sesuai untuk berlakunya pertukaran kabinet atau perubahan kerajaan baharu kerana negara masih menghadapi keadaan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan. 

Penganalisis politik, Dr Mohd Irwan Syazli Saidin berkata, sekiranya jajaran baharu tersebut terlaksana, ia akan meletakkan negara dalam keadaan yang tidak menentu dari pelbagai sudut khususnya dari segi kebajikan dan ekonomi.

Justeru, 14 Ahli Parlimen UMNO yang menerajui kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin perlu memainkan peranan penting untuk menentukan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kekal. 

“Saya berpandangan tiada keperluan untuk berlakunya pertukaran kerajaan seperti mana yang berlaku sewaktu langkah Sheraton kerana waktu itu pun telah menimbulkan keresahan yang membuatkan rakyat Malaysia tidak senang duduk. 

“Elakkan terlebih dahulu perkara-perkara begini. Lepas reda kes COVID-19 yang membolehkan rakyat keluar untuk mengundi, waktu itu barulah pilih siapa yang selayaknya untuk mewakili suara rakyat ke Parlimen,” katanya kepada wartawan PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini. 

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta merta. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Berikutan itu, Zahid berkata, tempoh memberikan sokongan dan mandat UMNO kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

Dalam pada itu, Mohd Irwan yang juga merupakan Pensyarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (Sphea), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempersoalkan desakan UMNO untuk keluar dari Kerajaan PN walaupun sudah banyak tuntutan daripada parti tersebut telah dipenuhi oleh Perdana Menteri. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlakunya agenda politik peribadi di kalangan pemimpin UMNO yang tidak mahu bersama PN yang dibuktikan melalui pelbagai pandangan berbeza daripada wakil rakyat parti tersebut. 

“Ini dibuktikan dengan pelbagai pandangan daripada pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa yang mempunyai pandangan tersendiri dan Datuk Seri Zahid juga dengan pandangan beliau. 

“Bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilihat lebih memfokuskan melaksanakan amanah berbanding mewujudkan kontroversi politik. 

“Walaupun UMNO sudah buat keputusan menerusi Datuk Seri Ahmad Zahid namun apa yang pasti kita masih belum mendengar kata putus daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan. Jadi kerajaan yang sedia ada masih kekal,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.