Annuar Musa mahu Zahid perjelas perkara sebenar

429

8 JULAI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa menjelaskan kedudukan sebenar keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ia ekoran Ketua UMNO Bahagian (KUB) yang juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT itu.

“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MKT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MKT.

“Pagi ini, apabila saya menjenguk WhatsApp Group Ketua-Ketua UMNO bahagian, ramai yang mengeluh dan keliru dengan kenyataan media Presiden UMNO. Terdapat juga KUB yang juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT.

ANNUAR

“Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali. Lain dibincang, lain pula dirumuskan,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, perbincangan pada malam tersebut tidak berkisar pada sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dipohon daripada pertemuan secara berasingan dengan ahli MKT.

 “Seramai 25 ahli MKT telah bercakap dalam suasana yang agak tenang dan jujur memberikan pendapat.

“Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada consensus (persetujuan) yang ketara. Tiada undian dibuat,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Justeru katanya, Presiden UMNO wajib menjelaskan kedudukan sebenar dengan segera membuat kenyataan yang benar.

“Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” katanya lagi.

Malam tadi, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.