RM8.3 bilion pinjaman peneroka FELDA akan dilupuskan – Muhyiddin

101

7 JULAI: Memahami kekangan kewangan dihadapi rakyat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyatakan persetujuan dengan cadangan FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri berkata perkara itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelupusan bersyarat berkenaan merangkumi empat pelarasan, pertama membabitkan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka iaitu meliputi 82 peratus dari keseluruhan 112,638 warga peneroka.

Muhyiddin berkata pelarasan kedua membabitkan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46 peratus warga peneroka).

MUHYIDDIN

“Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka iaitu meliputi 34 peratus warga peneroka).

“Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka),” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2021 hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan berharap inisiatif  berkenaan dapat meringan bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

Beliau berkata purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Saya berharap dengan usaha yang diambil oleh Kerajaan ini, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka.

“Ini sekali gus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemah dan tidak lagi membebankan pada masa depan.

“Saya juga berharap warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui kelak agar dapat sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti, seterusnya menjamin kelestarian FELDA,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.