Polis selesai rakam keterangan Mahfuz Omar

30

7 JULAI: Polis selesai merakam keterangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH)-Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, dan 10 individu lain bagi membantu siasatan berhubungan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata Mahfuz memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira dua jam iaitu dari jam 5.30 petang hingga 7.30 malam semalam.

Ahmad Shukri berkata polis juga selesai merakam percakapan 10 individu di Balai Polis Langgar iaitu mereka yang hadir pada Majlis Sumbangan Bakul Rahmah pada 2 Julai lalu.

Katanya, turut dipanggil memberi keterangan ialah Setiausaha Politik Mahfuz dan penduduk yang menghadiri majlis terbabit.

“Polis sudah selesai merakam percakapan daripada 11 orang termasuklah pengadu sendiri, Mahfuz dan juga mereka yang hadir semasa aktiviti Bakul Rahmah itu.

“Sehubungan itu polis akan mengemukakan kertas siasatan itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan yang diterima, program itu tidak dirancang iaitu Mahfuz hanya hadir untuk menyampaikan bantuan selepas dihubungi penduduk kampung terbabit.

Bagaimanapun, Ahmad Shukri, ada individu merakam gambar itu untuk tujuan simpanan tetapi ia tersebar di laman sosial.

“Polis tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan namun penganjur perlu bertanggungjawab dalam memastikan mereka yang hadir perlu mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini tersebar gambar Ahli Parlimen berkenaan dikatakan duduk di atas meja sambil bersila dan minum teh serta bersembang santai secara terbuka ketika dalam satu program bantuan.

Berikutan itu ramai mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen terbabit sedangkan Kedah masih dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu iaitu tidak membenarkan sebarang bentuk majlis keramaian apatah lagi bersantai minum petang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.