PEMBELA selar pemimpin DAP sokong pekebun durian haram

45

7 JULAI: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji yang mempersoalkan tindakan penguat kuasa memusnahkan kebun haram Musang King di Hutan Simpan Batu Talam, Raub di Pahang.

Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata, persoalan yang ditimbulkan Ahli Parlimen DAP itu bukan kerana mahukan jawapan namun sebagai satu hujah bagi mempertahankan kumpulan penceroboh.

“Wahai Yang Berhormat Ahli Parlimen Raub, jika benar-benar jujur ingin bertanyakan soalan ‘kenapa sekarang baru hendak tebang’, sepatutnya Yang Berhormat sudah membuat laporan SPRM.

AMINUDDIN

“Pihak kami sudah buat laporan SPRM dalam isu pencerobohan di Raub ini di mana beberapa kali saya turun naik Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Pejabat SPRM Pahang pun kita sudah jejakkan kaki untuk tujuan sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Justeru, Aminuddin memaklumkan persoalan yang dinyatakan oleh Tengku Zulpuri dilihat bukanlah bagi mempertahankan pekebun haram atau sebagai satu cubaan untuk mengalihkan isu berkenaan.

Beliau berkata, hujah yang dibangkitkan Tengku Zulpuri itu bagaimanapun tidak akan mengubah walaupun sedikit hakikat bahawa pekebun haram berkenaan adalah penceroboh dan kegiatan mereka salah.

“Malah, tindakan mempertahankan pencerobohan adalah satu masalah integriti. Sudah-sudahlah menegakkan benang yang basah.

“Saya tahu mereka adalah pengundi di kawasan Yang Berhormat, tetapi tolonglah ada maruah sikit. 

“Di manakah integriti sebagai wakil rakyat jika perkara yang salah pun kita bermati-matian mempertahankannya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.