Pelantikan dua pemimpin UMNO bukti PM ikhlas

49

7 JULAI: Pelantikan dua pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan menunjukkan keikhlasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melayani “musuhnya” (UMNO) dengan baik.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, justeru itu, isu tarik sokongan atau tidak sudah tidak relevan dalam perjumpaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dikhabarkan akan bermesyuarat malam ini.

Katanya, majoriti Ahli Parlimen Umno bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 seperti mana yang diusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

“Sebagai Ahli Parlimen yang setia kepada parti, sudah tentu berita ini menggembirakan saya. Diharapkan dalam tempoh berbaki dua tahun ini (tamat penggal PRU14), Umno boleh duduk bersama dengan Perikatan Nasional dan PAS untuk merancang menghadapi PRU 15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita hari ini.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, penjajaran baharu yang cuba digerakkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berjaya malah ditentang majoriti Ahli Parlimen.

“Kita sepakat mahu bantu kerajaan menstabilkan politik Malaysia dan pada masa sama bantu rakyat memerangi COVID-19,” katanya.

Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak pula berkata, biarpun masih terkejut beliau mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana masing-masing dilantik sebagai TPM dan Menteri Kanan Keselamatan.

Datuk Seri Najib ucap tahniah diatas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai TPM dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan

“Ingat ada pengumuman baik untuk keadaan Covid-19, moratorium yang lebih membebankan peminjam atau penambahan i-Citra tapi dapat pengumuman TPM dan Menteri Kanan baru pulak.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Seperti bagi menteri-menteri, pelantikan baharu ini di bawah bidang kuasa khusus Perdana Menteri Ke-8,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata tumpuan utama sudah tentu terarah kepada keputusan mesyuarat MKT Umno malam ini.

Timbalan Presiden, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup berkata beliau yakin pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat menghadapi waktu yang sukar ini.

Arthur Joseph Kurup

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menghadapi cabaran yang sedang dialami khususnya mengenai krisis kesihatan. Ini adalah masa untuk kita memulihkan ekonomi negara dan bukan masa untuk berpolitik.

“Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam menangani pandemik ini demi kesejahteraan rakyat,” katannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.