PAS Pahang sokong tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri

35

6 JULAI: PAS menyokong penuh tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pencerobohan tanah secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) di Batu Talam, Raub, Pahang.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang menjalankan operasi memusnahkan 250 ekar kebun durian haram di sekitar HSK Batu Talam dengan kerjasama polis adalah memang wajar.

“PAS juga menyokong penuh kenyataan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang meneroka mana-mana tanah di Negeri Pahang secara haram.

“Kita mengharapkan ketegasan ini berterusan dan tindakan yang sama dilakukan keatas sesiapa sahaja tanpa mengira status dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan dikongsi menerusi laman Facebook Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebentar tadi.

Rosli Abdul Jabar

Mengulas lanjut, Rosli berkata PAS Pahang sangat yakin bahawa tindakan ini akan dapat membanteras aktiviti penerokaan haram tanah di Negeri Pahang terutama melibatkan kawasan HSK pada masa yang akan datang demi manfaat rakyat dan Negeri Pahang sendiri.

“Tiada siapa yang dapat melebihi undang-undang kerana itu PAS Pahang berdiri teguh bersama YAB Menteri Besar dan pihak Jabatan Hutan dengan ketegasan menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 individu yang dipercayai pekebun durian, ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, Sabtu lalu.

Kesemua mereka itu juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub pada 4 petang untuk tindakan lanjut.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam kenyataannya, berkata mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan melakukan provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan membersihkan ladang haram berkeluasan 101 hektar berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.