Malaysia perkasa eksport sawit ke Mesir

89

7 JULAI: Malaysia dan Mesir memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama meneroka peluang memperkasakan eksport sawit di negara itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata MoU itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bagi menjamin bekalan berterusan sawit kepada pemain industri berkaitan komoditi itu di Mesir.

“Persetujuan ini dicapai ketika pertemuan bersama Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy.

“Ia bertujuan mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua buah negara,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja Misi Ke Mesir: Memperkasa Hubungan Dagang Agrikomoditi Negara selama empat hari bermula Sabtu lalu.

Mohd Khairuddin berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya membabitkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, perkayuan, getah dan koko.

Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Mesir, Dr Nigena Gamea, Khairuddin berkata, kedua-dua pihak turut memeterai MoU bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya membabitkan kayu getah.

Mohd Khairuddin berkata, pada tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta, manakala eksport getah pula mencatatkan nilai RM184 juta manakala subsektor koko sebanyak RM87 juta.

“Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.

“Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.